cari id yes guru sktp

20 Mac 2009

Maafkan aku, kamu-kamu..

Tintaku mencurahkan lagi kata-kata hati. Temanku ada di sini. Melaluinya kamu-kamu semua boleh mengenali siapa aku. Bagaimana aku. Dan walaupun telahan kamu-kamu semua mungkin berbeza daripada yang sebenarnya, tidak mengapa. Kamu masih boleh mengenali aku dengan tafsiran masing-masing. Benar bukan?

Kata-kata aku di sini, adalah hati kecil aku. Aku tidak pandai meluah kata nyata. Temanku si Tinta yang membantu menzahirkan segala yang tersirat. Maaf jika ada sesiapa yang sedikit terluka. Atau mungkin juga banyak tersentuh rasa. Aku senyum dan itu belum menjanjikan bahagia. Tapi sedayanya aku akan menyingkir rasa jiwa yang malap. Sebaik mungkin mewujudkan sinar gemerlapan. Namun, aku masih lagi Insan Biasa yang tidak lepas dari silap dan ketelanjuran. Semoga ketelanjuranku tidak kamu-kamu semua diamkan jika ia terlalu menyakitkan seluruhnya. Segala perkataan-perkataan yang kamu-kamu berikan sangat aku hargai,sungguh! Walaupun perkataan yang mungkin mengguris hati...tetapi jika ia mampu menjadikan aku lebih bermakna bersama dengan kamu-kamu semua, aku sanggup menerimanya.

Perkataan
Wujudnya dari gabungan suku kata
Kerananya.. lahir ayat-ayat bermakna
Ayat-ayat itu
adakala mampu mengguris jiwa
adakala mampu membangkit rasa

Perkataan
Datangnya dari mana-mana
Dari jiwa meluah rasa
Dari hati menyata isi
Dari minda bermuzakarah

Maafkan aku, kamu-kamu
Jika perkataanku
Mengundang duka

Berbahagia, kamu-kamu
Jika perkataanku
Mempelawa ketawa

Bagaimanapun suku kata itu
Membentuk perkataan
Yang membawa kepada ayat
Aku di sini cuma menyata rasa
Tidak bermaksud apa-apa
Yang boleh menjarakkan kita

Kerana adanya kata-kataku ini
Membawa kewujudan kata-katamu
Saling kita bertukar kata
Yang membina jalinan antara kita

Maafkan aku, kamu-kamu
Jika aku ada ketelanjuran kata


Tiada ulasan: