cari id yes guru sktp

27 Mac 2007

Guru dan bidangnya....

Antara aktiviti yang dijalankan ketika Perkhemahan Unit Beruniform 2006
Setiap orang ada cita-cita sendiri. Kita tanya saja kepada budak-budak sekolah sekarang, ada yang nak jadi cikgu, polis, tenteta, peguam, doktor, jurutera....dan macam-macam lagilah.Saya pernah juga terdengar ada yang nak jadi penjaga kedai! Opsss....jangan di pandang rendah. Mungkin kedai yang dia bayangkan sekarang hanya sekadar kedai biasa, kitalah yang boleh ubah persepsi kedai supaya menjadi supermarket atau hypermarket ke....tak hebat ke?
Berbalik kepada yang nak jadi cikgu, pun tak kurang ramainya, tapi sudah faham benarkah mereka dengan identiti seorang cikgu. Atau yang mereka nampak gaji besar, kerja separuh hari, tiap-tiap tahun pasti dapat hadiah sempena hari guru?
Kepada yang sedang bercita-cita untuk menjadi cikgu, sila fikirkan yang lebih jauh lagi. Kalau setakat yang tersenarai tu, ada baiknya carilah cita-cita yang benar-benar akan menjadikan kalian anggun, malah hebat.Menjadi guru tidaklah semudah yang disangka, mentelaah pula di zaman siber yang serba canggih.
Jika di maktab/universiti bidang anda adalah matematik , Itu bukan lah alasan untuk anda menyatakan anda lemah dan tidak mampu untuk mengajar pelajaran di luar bidang anda. Berusahalah supaya anda baik dalam semua bidang,kerana guru seharusnya tahu banyak perkara. Luaskan pengetahuan dan tolong tidak menyempitkan ruang anda sebagai guru. Baik dan bagus di dalam bukan bidang dan seharusnya anda hebat di dalam bidang anda. Nah, itulah guru yang asli!
Bagaimana untuk menjadi baik serta hebat? Belajarlah. Tidak semestinya setelah anda mengajar maka anda berhenti belajar. Guru harus sentiasa belajar agar tidak putus ilmu yang hendak di ajarkan kepada orang lain. Tidak begitu?
Biarlah apa orang lain nak kata "nak naik gaji lagi ke, maka sambung belajar?" . Yang penting nawaitu untuk menyebarkan ilmu yang terkini agar bangsa dan negara tidak ketinggalan.
Di sekolah sudah maklum, ada ramai guru yang mahir dalam bidang masing-masing. Apalah salahnya guru menjadi pelajar kepada rakan sejawatnya. Dan tidak ada anehnya guru menjadi guru kepada rakan sejawatnya. Sama-sama akan mendapat faedah. Secara tidak langsung semua guru akan menjadi mahir dalam semua bidang. Tidaklah bergantung harap kepada guru bidang semata-mata. Andaikan jika guru bidang tidak ada, tidaklah terkontang kanting kelemasan kerana ada pelapisnya.
Kepada guru yang ada rakan sejawat memohon untuk menjadi pelajar anda , jangan pula anda berasa berat hati untuk menurunkan ilmu. Ilmu itu ALLAH amanahkan kepada anda untuk dikongsikan juga dengan orang lain. Maka berkongsilah, insya'allah ilmu anda akan bertambah hebat.
Guru sesama guru harus bersama-sama menaikkan taraf guru. Jika tidak siapa lagi? Seperti entri saya yang lalu, pengetahuan, pengalaman jangan ditunggu kedatangannya kepada kita. Tetapi kitalah yang harus mencarinya untuk kesejahteraan semua.
Jadilah guru yang asli bukan klon. Saya sendiri masih berusaha kearahnya.Tulisan ini sekadar menjadi peringatan kepada semua yang bergelar guru, bakal guru dan sebenarnya untuk diri sendiri juga.
Almaklumlah dek kerana terlampau banyak tekanan adakalanya kita terlupa siapakah sebenarnya insan yang digelar "GURU"....."CIKGU"....sehingga terlupa juga amanah yang diamanahkan kepada kita.

19 Mac 2007

"Kenapa?"

mendamaikan pandangan"Kenapa?" Kata tanya 'kenapa' ini kerap digunakan oleh anak-anak zaman IT ini. Jika kita amati setiap kali ada larangan jangan, maka kata tanya 'kenapa' ini akan berada di bibir.Cubalah berikan pernyataan jangan kepada anak-anak kita, tunggu dan lihat responnya. Walaupun tidak semua tetapi hampir kebanyakkan daripada mereka pasti mahukan penjelasan.

Pemikiran anak-anak zaman ini sudah tinggi dan adakalanya melebihi had umur anak itu sendiri. Jangankan anak remaja, anak kecil yang baru sekolah tadika pun banyak persoalan yang diutarakan. Semakin membesar anak-anak hari ini semakin berat persoalan yang diperlukan untuk penjelasan.

Suatu perkembangan yang agak sihat. Anak-anak ini menunjukkan minatnya untuk mengetahui sesuatu. Perasaan ingin tahu inilah yang perlu diselia oleh orang yang lebih dulu makan garam. Mereka harus diawasi dan dibimbing agar tidak tersalah mencari penjelasan dan agar sentiasa berada di kawasan yang selamat.

Untuk itu, apakah mereka-mereka yang lebih berpengalaman bersedia untuk bersama-sama bagi memberikan tunjuk ajar dan pengalaman kepada anak-anak yang sedang mahu meneroka hidup? Cuba renungkan seketika , apakah setelah menjadi seseorang, kita juga telah bersedia untuk membantu seseorang yang lain agar menjadi seseorang? Dan setelah semua persoalan 'kenapa' terjawab, kita mungkin perlu bersedia dengan persoalan 'bagaimana' pula.

Kenapa perlu pengalaman? Bagaimana untuk dapatkan pengalaman?

Belajar sebenarnya tidak pernah berehat.Sama seperti masa yang tidak pernah berhenti walaupun sesaat.......

18 Mac 2007

Belajar dan belajar

Tekun...menyiapkan latihan yang diberi
Belajar itu satu tugas bagi setiap individu. Tidak kira tua atau muda. Manusia seharusnya tidak berhenti belajar untuk menjadi seseorang yang boleh digelar "Insan". Pembelajaran adalah sepanjang hayat. Itulah sebabnya sampai ke liang lahat pun kita masih lagi belajar.

Belajar tidak kira di mana-mana pun kita berada. Ianya satu maah dan tanggungjawab terhadap diri kita sendiri.Seharusnya juga kita menanamkan rasa minat untuk belajar kepada anak-anak yang masih kecil. Mereka ini tidak patut jemu untuk mengutip ilmu sebagai bekalan disepanjang perjalanan hidupnya.
Ilmu-ilmu ini pastinya akan berguna dan membawa maanfaat yang maha besar kelak. Tidak semuanya akan segera menunjukkan hasil setelah kita menjayakannya. Pokok pun berbuah hanya apabila sudah tiba masanya.
Kita harus menjadi seseorang. Lakukanlah sesuatu melebih orang lain walaupun hanya selangkah ke hadapan. Saya akan ingat pesanan majikan saya yang saya panggil ayahanda di sekolah. Pengalaman ayahanda yang pernah diceritakan kepada saya akan saya jadikan tauladan untuk saya menjadi seseorang.
Pengalaman adalah pengajar yang terbaik untuk seseorang. Kita harus lakukan sesuatu untuk mendapatkan pengalaman itu. Itu adalah sesuatu yang pasti. Jangan tunggu untuk disuapkan pengalaman tetapi carilah pengalaman.