cari id yes guru sktp

16 Disember 2007

Insan terpilih


Siapa? Ntah xde sape yang tahu..

04 November 2007

Malam 26 Oktober 2007 bersama ayahanda....

Senario semasa majlis persaraan ayahanda tercinta, GB SKTP Ayahanda Mohd Azman B. Abdul Rashid PJK.



p/s : wana aku pinjam ek slide ko.....tu la sapa suh x pas koleksi gambar yang dapat pada malam tuh kat aku. Kan aku dah kena pinjam slide ko.....hehehhe

25 Oktober 2007

Gambar-gambar sekitar kursus ICT di SKSU

Kursus Aplikasi ICT : Fasa 3 di SK Sungai Udang

JU/mentor bertugas

Alhamdulillah...akhirnya kami berjaya melaksanakan tugas memberi input kepada guru-guru mengenai aplikasi ICT dalam P&P. Semuanya berjalan dengan baik. Kerjasama yang diberikan oleh rakan setugas dan para peserta amat dihargai.

Semoga segala info yang kami beri ini dapat meningkatkan lagi kualiti P&P guru-guru di dalam kelas, tidak kisahlah sama ada di sekolah rendah mahupun di sekolah menengah. Dan semoga para peserta yang terlibat dapat memanfaatkan ilmu dan pengalaman yang diperolehi sepanjang berkursus dapat digunakan pula untuk mengendalikan sesi yang akan datang.

Gambar-gambar sepanjang kursus di jalankan akan saya uploadkan kemudian. Tahniah kepada semua yang terlibat menjayakan kursus pada kali ini. Terima kasih kepada kumpulan saya yang berada di makmal B, SK Sungai Udang;Cikgu Hilwana, Cikgu Aini, Cikgu Erwan dan Cikgu Nazrin. Tak lupa juga terima kasih kepada kumpulan yang berada di makmal A; Cikgu Zulfalizam,Cikgu Ibni, Cikgu Tony dan Cikgu Kalaiyarasi.

Kalau ada sumur di ladang,
Boleh saya menumpang mandi;
Kalau ada umur yang panjang;
Boleh kita berjumpa lagi.

Antara gambar yang saya janji nak upload....
(di upload pada 7/12/07)

mentor.: Bersama Cikgu Aini dan ketua mentor yang berdedikasi Cikgu Erwan :.


.: Situasi -situasi di Makmal B SK Sungai Udang :.






.: Sesi pembentangan oleh para peserta :.






.: Tugasan terakhir para fasi...buat laporan :.






.: Minum petang sebelum pulang :.






03 Oktober 2007

Kursus Aplikasi ICT

Kursus ini telah diadakan di SK Bukit Kapar selama 4 hari. Bermula 10-13 September 2007. Saya adalah salah seorang yang bertuah kerana dipilih untuk menyertainya. Dan saya bersyukur kerana dapat menambah ilmu di dada.Seronok....lagipun, dah lama tak keluar berkursus ni. Di bawah adalah gambar-gambar yang dirakam oleh sahabat saya yang nakal....heheh dan merangkap jurulatih saya semasa berkursus. TQ cikgu Hilwana!!
JU yang sepakat, En.Fadhil,En.Rizal,Cik Wana, n Pn. Rusilawati
Tengah get ready untuk pembentangan hasil kerja
Leka siapkan bahan
kerjasama berkumpulan.Thanks kak Safiah.
Belek-belek lagi,esok nak bentang nih
En. Rizal n Cik Wana, perbincangan antara JU..heheh











Untuk berita lanjut APLIKASI ICT

23 September 2007

Kem Jati Diri 2007

Gambar-gambar dari:

Total Success Gallery
Mei 2007

14 Julai 2007

Kurikulum Tersembunyi

Sekiranya kita ke sekolah dengan anggapan bahawa pendidikan yang kita terima itu adalah semata-mata untuk lulus dalam peperiksaan, maka anggapan itu sebenarnya adalah salah. Terdapat banyak kurikulum tersembunyi yang terdapat di sebalik semua mata pelajaran yang kita pelajari sehari hari.Mungkin kerana terlalu asyik dengan pencapaian yang bakal di perolehi dan terlalu memikirkan tentang peperiksaan maka kita terlupa mengenai 'ilmu' yang tersembunyi itu.Apa yang telah kita pelajari itu secara tidak sedar itu sebenarnya telah membantu kita dalam peperiksaan dan lebih utama ia sebenarnya membantu kita menjalani hidup kita. Misalnya, tindakan disiplin mengajar kita bahawa setiap perlakuan kesalahan yang kita lakukan itu ada akibat buruknya. Dari situ kita juga belajar bahawa apa sahaja perlakuan yang kita lakukan pasti akan ada kesan dan akibat sama ada baik mahupun buruk. Selain daripada itu, ada banyak lagi perkara tersembunyi yang kita pelajari ketika di sekolah sama ada secara langsung daripada guru ataupun secara tidak langsung daripada sumber lain.

Antaranya ialah :

1. Cara-cara meramal kesan atau akibat
2. Cara-cara membaca
3. Cara-cara membezakan antara fakta dengan 'auta'
4. Cara-cara memberikan penekanan
5. Cara-cara menjadi kreatif
6. Cara-cara berkomunikasi dengan jelas
7. Cara-cara belajar
8. Cara-cara untuk kekal sihat
9. Cara-cara untuk menghargai diri sendiri
10.Cara-cara untuk hidup yang penuh bermakna

Jika kita sebagai guru mengambil sedikit waktu untuk menjelaskan beberapa manfaat tersembunyi yang terdapat dalam mata pelajaran masing-masing, para pelajar mungkin lebih prihatin, teruja dan berkeinginan untuk mempelajarinya. Sekiranya kurikulum tersembunyi ini terus dibiarkan dalam keadaan tersembunyi, kita mungkin akan berhadapan dengan para pelajar yang hanya belajar untuk lulus dalam peperiksaan semata-mata dan tidak dapat memanfaatkan mata pelajaran itu sepenuhnya.

p/s : Cikgu-cikgu mari kita fikirkannya bersama.

Penulis asal : A. Waty Mohd Noor

13 Julai 2007

Kursus PTK Meningkatkan Profesionalisme Keguruan

Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB) melalui anak syarikatnya UAM Sdn. Bhd. bersama dengan Bahagian Pembangunan dan Penilaian Kompetensi Kementerian Pelajaran Malaysia telah bergabung tenaga mengendalikan kursus-kursus PTK untuk Pegawai Perkhidmatan Pelajaran Gred DGA 34, DG 44, DG 48, DG 52, dan DG 54.

Penganjurannya adalah bertujuan untuk memberi peningkatan pengetahuan dan kemahiran profesionalisme keguruan serta nilai-nilai peribadi supaya dapat menyumbang secara berkesan kepada organisasi(Dato' Hj. Termuzi bin Abdul Aziz,CEO UAM Sdn. Bhd) dan juga untuk menilai kompentensi pegawai bagi memenuhi salah satu syarat untuk layak dipertimbangkan anjakan gaji atau kenaikan pangkat atau kedua-duanya.

Tempoh kursus selama 7 hari(3 hari kuliah + 4 hari penilaian)
Tajuk-tajuk kuliah:
1. Kepimpinan berkesan ke Arah Perubahan Dalam Pendidikan
2. Wawasan 2020 dan Dasar KPM
3. Pengurusan Kewangan
4. Nilai dan Etika Dalam Perkhidmatan Awam
5. Integriti Dalam Perkhidmatan Awam
6. Aplikasi ICT dalam Pendidikan
7. Kompetensi Kecerdasan Emosi
8. Pengurusan Strategik & Pengurusan Kualiti Menyeluruh (TQM)
9. P&P Berkesan.

Penilaian:
1. public speaking
2. tugasan kumpulan
3. tugasan individu
4. ujian akhir kursus

Kursus diadakan di 4 Zon
1. Zon Utara (Penang/Kedah): peserta dari Penang, Kedah, Perlis, Perak
2. Zon Timur (Kota Bharu): peserta dari Pahang, Terengganu, Kelantan
3. Zon Selatan (Kuala Lumpur): peserta dari Johor, Melaka, N.S,Wilayah Persekutuan
4. Zon Sabah-Sarawak : peserta dari Miri,Sarawak

Pemilihan peserta adalah berdasarkan permohonan yang dibuat oleh Pegawai Perkhidmatan Pelajaran dari Gred DGA 34 - DG 54 ke KPM dan surat panggilan untuk mengikuti kursus dikeluarkan oleh Bahagian Pembangunan dan Penilaian Kompetensi, KPM.

Impak :
* Kursus bertepatan, memberi informasi dan kemahiran untuk guru
* Kursus sebagai pemangkin bagi seorang pendidik agar menjadi lebih dinamik dan berilmu. Semua guru harus menyertainya.

p/s : Semua guru ada peluang untuk menyertainya?
Semua guru akan dapat surat panggilan?
Semua guru buat permohonan?

17 ciri guru matematik yang berkesan

Adaptasi dari majalah Pendidik edisi Julai 2007-m/s 40

Personaliti guru , ciri personaliti sangat mustahak untuk menjadikan guru matematik sebagai guru yang berkesan. Lima personaliti yang kerap ditimbulkan ialah

1. sebagai model kepada pelajar
2. berani
3. bersih fizikal dan mental
4. baik hati
5. rajin

Guru matematik yang berkesan mempunyai tujuh asas pengetahuan pengajaran

1. mengikut keutamaan
2. pengetahuan tentang pelajar
3. pengetahuan mengenai sifat pelajar
4. kandungan pedagogi
5. matlamat pendidikan
6. konteks pendidikan
7. kurikulum

Guru matematik yang berkesan memberi tumpuan kepada

1. memahami matlamat pendidikan dan idea yang akan diajar
2. mengolah pemahamannya kepada pemahaman pelajar
3. mengurus, menyusun dan menyampai pengajaran
4. menilai pengajaran
5. mengimbas kembali pengajaran

11 Julai 2007

Karnival Tunas Mini Olimpik

MAJLIS SUKAN SEKOLAH-SEKOLAH DAERAH KLANG 2007



KEPUTUSAN AKHIR

JOHAN KESELURUHAN KARNIVAL
1. SK Telok Pulai 141 Mata
2. SK Simpang Lima (1) 137 Mata
3. SK Taman Klang Utama 136 Mata

JOHAN KESELURUHAN KATEGORI LELAKI
1. SK Simpang Lima (2) 87 Mata
2. SK Sementa 60 Mata
3. SK Taman Klang Jaya 55 Mata
4. SK Bukit Rimau 45 Mata

JOHAN KESELURUHAN KATEGORI PEREMPUAN
1. SK Telok Pulai 114 Mata
2. SK Taman Klang Utama 91 Mata
3. SK Simpang Lima (1) 56 Mata
4. SK Simpang Lima (2) 50 Mata

08 Julai 2007

Ini cikgunya....

Antara guru-guru yang ikut serta dalam Perkhemahan Unit Beruniform & Motivasi Pengawas SKTP 2007.

07 Julai 2007

Perkhemahan....Kayak

Perkhemahan Unit Beruniform dan Motivasi Pengawas 2007 diadakan pada 7hb Julai 2007. Saya bukanlah salah seorang yang tersenarai untuk mengikuti perkhemahan ini. Tetapi oleh kerana lokasinya yang tidaklah jauh sangat, saya dengan sukarela menjengah aktiviti yang diadakan pada hari pertama perkhemahan. Juga bertujuan mencari bahan untuk entri blog saya ini. Mungkin entri kali ini tidak mengikut 'theme' blog saya yang berkaitan pendidikan seperti yang lepas. Atas permintaan seorang sahabat maka saya catatkan jugalah pengalaman-pengalaman yang saya lalui di sini bersama rakan rakan perjuangan yang lain.

Kayak antara aktiviti yang disediakan pada petang itu. Disebelah pagi telah diadakan aktiviti hiking , tetapi saya tidak mempunyai gambar-gambar yang boleh dikongsi bersama di sini kerana saya hanya tiba di kawasan perkhemahan pada waktu tengahari. Seronok juga melihat murid-murid diberi pengalaman berkayak ni ..... kat tasik je la bukan kat sungai atau kat laut. Oh ya lupa pula, perkhemahan ini diadakan di Kem Pulapes, Jugra. Lebih kurang satu jam aje dari Bandar Klang. Aktiviti berkayak ini memberikan peluang kepada murid-murid untuk saling bantu membantu antara satu sama lain. Persefahaman amat perlu, apatah lagi semasa nak mendayung tu. Kalau tak sepakat memang tak bergeraklah. Kekuatan daya tahan fizikal terutama tangan juga diperlukan semasa aktiviti ini. Paling utama, aktiviti ini mengajar mereka untuk mengimbang badan dan juga bekerjasama dalam pasukan.

Saya pergi ke Jugra ni pun berteman juga, bersama kak Ina, saya bawa tukang urut nie, dan kedatangan tu taklah sia-sia juga sebab khidmat kak Ina digunakan cikgu-cikgu yang terseliuh dan terkejang lepas berkayak tu....free je pun, ikhlas, kumpul harta kemudian hari.Buat bekalan. Bekalan kat dunia ada, bekalan kemudian hari tak dilupakan.

Saya dan kak Ina tak lama, selepas mengurut tu, 6.00 petang kami pulang ke Klang semula. Niat nak datang semula malamnya. Maklumlah, malam tu aktiviti agak menarik untuk dijadikan entri di sini, aktiviti kebudayaan. Tapi pelepasan daripada orang tua saya takde, so terpaksalah saya melepaskan peluang untuk mendapatkan bahan berita pada malam harinya. Namun saya dah merancang esok seawal pagi lagi saya dan kak Ina akan kembali semula untuk cerita selanjutnya...So kita tunggu berita dan gambar seterusnya esok okay.....

04 Julai 2007

Kesibukan & Tanggungjawab

Sibuk menjadi punca saya tidak mengisi entri baru . Tiada kesempatan. Sibuk dengan tugasan di sekolah. Juga sibuk membereskan tugasan yang diberi universiti.Pening juga nak mengatur dan menguruskan masa. Ayah pun terpaksa bertolak ansur dengan kesibukan saya. Walaupun masih ada rungutan, terpaksa diterima juga situasi demikian.

Di sekolah, guru-guru diberi kelas tambahan untuk meningkatkan tahap penguasaan English. Namun, tidak berjalan seperti yang diharap-harapkan. Adakalanya kehadiran sungguh mengecewakan. Berutungnya saya menjadi pelajar, jika saya yang menjadi gurunya, ..........:-( saya nangis kot.

Hahaha.....maklumlah kita cuma manusia biasa, ada kekurangan masing-masing maka perlu juga kita menerima segala macam alasan yang diberi. Manusia memang begitu ada-ada sahaja..kui kui kui. Walau apa pun setiap daripada kita mempunyai kesibukan dan taggungjawab yang tersendiri. Asalkan kita sedar tentang tanggungjawab kita walau sesibuk manapun kita, dah kira baiklah tu.

14 Jun 2007

30 Sekolah Kluster Pertama

Sekolah Berasrama Penuh
  • Sekolah Sultan Alam Shah, Putrajaya
  • Kolej Islam Sultan Alam Shah, Selangor
  • Kolej Tunku Kurshiah, Negeri Sembilan
  • Kolej Melayu Kuala Kangsar, Perak
  • Sekolah Menengah Sains Tengku Muhammad Faris Petra, Kelantan

Sekolah Menengah Harian

  • SMK Penang Free, Pulau Pinang
  • SMK (P) Sri Aman, Selangor
  • SMK Aminuddin Baki, Kuala Lumpur
  • SMK Sultanah Asma, Kedah
  • SMK Sulaiman, Terengganu
  • SMK Abdul Rahman Talib, Pahang
  • SMK Derma, Perlis
  • SMK Gunung Rapat, Perak
  • SMK Victoria, Kuala Lumpur
  • SMK St. John, Kuala Lumpur
  • SMK Convent Bukit Nanas, Kuala Lumpur

Sekolah Menengah Teknik

  • SMT Tawau, Sabah
  • SMT Tuanku Jaafar, Negeri Sembilan

Sekolah Menengah Kebangsaan Agama

  • SMKA Sheikh Abdul Malik, Terengganu
  • SMKA Sharifah Rodziah, Melaka
  • SMKA Al-Masyhoor (L) , Pulau Pinang

Sekolah Kebangsaan

  • SK Zainab 2, Kelantan
  • SK Sri Gaya, Sabah
  • SK Infant Jesus Convent, Johor
  • SK Sultan Idris 2, Perak

Sekolah Kebangsaan Orang Asli

  • SK Pengkalan Tereh, Johor

Sekolah Kebangsaan Pedalaman

  • SK Ulu Lubai, Sarawak

Sekolah Jenis Kebangsaan Cina

  • SJKC Keat Hwa, Kedah

Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil

  • SJKT Simpang Lima Klang, Selangor

Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas

  • SKPK Alma, Pulau Pinang

Perbezaan sekolah kluster dengan sekolah lain

Dari segi perancangan, dilihat pada impaknya, iaitu pelajar yang dihasilkan. Pelajar yang lahir dari sekolah kluster mesti mempunyai kecemerlangan dan ada petunjuk tertentu seperti mempunyai keyakinan diri, keberanian, kemahiran komunikasi yang baik, memiliki daya kepimpinan, bagus penguasaan ICT, mengusai pelbagai bahasa termasuk bahasa Inggeris, boleh bersaing dengan pelajar dalam dan luar negara. Dengan perkataan lain pelajar ini holistik.Selain cemerlang akademik dan mempunyai peribadi yang menyeluruh.

08 Jun 2007

7 Strategi pupuk kemahiran tulis karangan

1. Beri penjelasan berulang kali
Penjelasan mengenai teknik mengarang perlu diulang-ulang kerana perkara penting yang perlu diberi perhatian ialah pelajar mengingati dan mempraktikan teknik mengarang setiap kali menulis karangan.

2. Lihat tangan sewaktu mengarang
Asuh pelajar mengingat dan menghafal lima urutan ayat yang patut ditulis dalam karangan berdasarkan susunan jari mereka. Ibu jari ialah ayat idea utama, jari telunjuk ialah ayat huraian isi, jari tengah ialah ayat contoh, jari manis ialah ayat bukti, dan jari kelingking ialah ayat penegasan.

3. Membaca rencana sambil membuat peta minda
Satu cara untuk meningkatkan kemahiran pelajar menulis karangan ialah menyuruh pelajar merujuk bahan seperti rencana dan membina peta minda berdasarkan bahan berkenaan sebagai persediaan sebelum menulis karangan.

4. Menyalin 100 karangan
Pendeta Za'ba dalam bukunya, Ilmu Mengarang Melayu (1965), menyatakan bahawa orang yang hendak pandai mengarang tiada pilihan lain melainkan
  • banyak-banyak membaca karangan yang elok-elok atau buku-buku yang elok-elok karangannya.
  • banyak-banyak memerhati percakapan orang yang pandai-pandai dan petah bercakap; dan
  • banyak-banyak meneladani akan karangan-karangan yang sedap, iaitu tiru dan cuba buat seperti itu pula

Suruh murid menyalin 100 karangan dalam tempoh 10 bulan mulai Januari hingga Oktober.Beri kebebasan pelajar sendiri memilih karangan berkenaan.Guru perlu menyemak karangan yang disalin dari semasa ke semasa.

Menyalin dan meniru adalah proses yang amat berkesan kepada pelajar dalam proses membina karangan yang mantap dan cemerlang.Karangan yang disalin pelajar juga boleh digunakan sebagai bahan melaksanakan strategi merujuk bahan dan membina peta minda.

5. Membuat koleksi frasa dan peribahasa.
Gunakan masa 5 minit sebelum P&P untuk menjalankan strategi ini. Tentukan giliran pelajar untuk membuat koleksi ini dan menyampaikannya kepada pelajar lain untuk disalin ke dalam buku catatan koleksi.Guru juga boleh memberi koleksi sendiri kepada pelajar.
Galakkan pelajar merujuk koleksi sewaktu membuat latihan menulis karangan.Hasilnya akan berlaku perubahan positif kerana pelajar sedaya upaya akan cuba menggunakan frasa menarik dan peribahasa ketika mengarang.

6. Memberi keyakinan kepada pelajar.
Guru perlu mengubah persepsi diri pelajar yang mempunyai tanggapan negatif terhadap diri sendiri dengan menanam kepercayaan yang betul dan realistik bahawa mereka mampu mengarang. Pelajar perlu ditanamkan kesedaran bahawa kemahiran mengarang boleh dipelajari dan dikuasai.

7. Ganjaran
Setiap ganjaran daripada guru adalah pengukuh dan pendorong yang cukup berkesan untuk meningkatkan tingkah laku positif pelajar. Ganjaran dalam bentuk pujian adalah pendorong yang cukup berkesan. Oleh itu, memberi komen membina seperti "Tahniah" dan "Syabas" perlu menjadi amalan guru.


'Guru yang mampu menjadi penyelidik yang kritikal mengenai sikap pelajarnya, sanggup menerima dan membuat perubahan serta berupaya membuat penilaian terhadap diri dan pelajarnya setiap kali pengajaran berlangsung, sudah pasti akan dapat membentuk proses pengajaran dan pembelajaran yang berupaya merangsang minat pelajarnya untuk belajar'

Kluster Institusi Pendidikan

Kluster : Sekolah rendah
Institusi Pendidikan:
1-Sekolah Kebangsaan
Sekolah yang menggunakan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar utama

2-Sekolah Jenis Kebangsaan Cina
Sekolah yang menggunakan bahasa cina sebagai bahasa pengantar utama

3-Sekolah Jenis Kebagsaan Tamil
Sekolah yang menggunakan bahasa tamil sebagai bahasa pengantar utama

Kluster : Sekolah menengah
Institusi Pendidikan :
1-Sekolah Berasrama Penuh (SBP)
SBP bermatlamat memberi peluang kepada pelajar cemerlang khususnya dari luar bandar mendapatkan pendidikan yang terbaik supaya mereka terus berjaya dalam akademik,kokurikulum dan sahsiah. Dalam RMK-9, Kementerian Pelajaran akan membina 15 lagi SBP, menaik taraf SBP sedia ada, meningkatkan prestasi sukan dan memantapkan program kepimpinan. Setiap SBP mempunyai keistimewaan masing-masing seperti permainan ragbi di Kolej Melayu Kuala Kangsar, Perak; Pancaragam di Sekolah Tun Fatimah, Johor dan Kejuaraan Pidato di Kolej Islam Sultan Alam Shah Klang, Selangor.

2-Sekolah Menengah Teknik (SMT)
Pendidikan Teknik dan Vokasional memberi peluang belajar kepada pelajar yang cenderung dalam bidang teknikal dan vokasional sejajar matlamat untuk menyediakan tenaga kerja mahir dan separuh mahir yang mencukupi.SMT menawarkan bidang vokasional seperti ekonomi rumah tangga, pertanian, ketukangan elektrik, mekanikal, dan awam. SMT cemerlang termasuk SMT Dato' Undang Haji Md Sharip ( ekonomi rumah tangga ), SMT Chenor (pertanian), SMT Seri Manjung (ketukangan elektrik), SMT Muazam Shah (ketukangan awam), SMT Shah Alam (ketukangan mekanikal), dan SMT Cheras (kejuruteraan).

3-Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA)
SMKA diwujudkan bagi menyediakan pendidikan Islam kepada pelajar, memupuk potensi dari segi minat, kreativiti, sahsiah dan kepimpinan serta menyediakan peluang melanjutkan pelajaran dalam pelbagai ilmu di dalam dan di luar negara. Beberapa SMKA menunjukkan prestasi membanggakan terutama dalam SPM seperti SMKA Maahad Haamidiah Kajang, Selangor.

4-Sekolah Premier
Sekolah Premier ialah sekolah yang mempunyai unsur sejarah dan tradisi kukuh serta memberi banyak sumbangan kepada negara sejak ditubuhkan. Sekolah ini mempunyai seni bina bersejarah yang akan memperkayakan khazanah warisan negara serta menjadi lambang dan kebanggaan negara kerana kecemerlangannya. Sekolah ini melahirkan tokoh negara dan korporat seperti Victoria Institution (Kuala Lumpur), Sekolah Zainab (Kelantan), Maktab Sultan Ismail (Kelantan), dan Sekolah Menengah St. John (Kuala Lumpur).

5-Sekolah 100 Tahun
Sekolah 100 Tahun ialah sekolah yang dibina sebelum 1905. Sekolah ini mempunyai ciri tinggalan sejarah dan sebahagiannya ialah sekolah premier. Sekolah ini memberi banyak sumbangan kepada negara terutama melahirkan tenaga kerja dalam pelbagai profesion seperti Penang Free School (P.Pinang), Sekolah Tinggi Melaka (Melaka), Sekolah Menengah Lelaki Methodist (Kuala Lumpur), Kolej Melayu Kuala Kangsar (Perak), Sekolah Kebangsaan Padang Lebar Kikir (Negeri Sembilan).

6-Sekolah-sekolah di Putrajaya dan Cyberjaya
Sekolah di Putrajaya dan Cyberjaya terletak di Koridor Raya Multimedia dan sebahagiaannya adalah sekolah bestari. Sekolah ini mempunyai reka bentuk menarik, infrastruktur lengkap dan terletak dalam kawasan strategik, iaitu berhampiran dengan Kompleks Kerajaan Persekutuan.

7-Sekolah Model Khas
Sekolah Model Khas menggabungkan pelajar sekolah rendah tahap II dan pelajar sekolah menengah di bawah satu bumbung. Ia adalah konsep baru dalam menyediakan kemudahan fizikal kondusif bagi pelajar yang berpotensi di kawasan luar bandar seperti Sekolah Menengah Kebangsaan Clifford Kuala Lipis (Pahang), dan Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Jenun Pendang (Kedah).

Kluster : Sekolah pendidikan khas
Institusi Pendidikan:
1-Sekolah Pendidikan Khas
Sekolah Pendidikan Khas menyediakan pendidikan khas kepada pelajar bermasalah penglihatan, pendengaran, dan pembelajaran, autisme, sindrom down, keupayaan kognitif rendah, ADHD dan disleksia, supaya mereka menjadi insan berdikari dan dapat menyumbang kepada pembangunan negara. Sekolah Menengah Pendidikan Khas Indahpura menyediakan kemudahan pelajaran bagi ketiga-tiga kategori pendidikan khas. SMT juga memberi peluang pendidikan kepada pelajar bermasalah pendengaran dengan menawarkan kursus anjuran Majlis Latihan Vokasional Kebangsaan. Program pendidikan khas juga diwujudkan di sekolah rendah dan menengah harian serta di SMT melalui pendekatan pengasingan dan inklusif. Program ini melibatkan pelajar bermasalah pendengaran, penglihatan dan pembelajaran.

Kluster : Sekolah di luar seliaan Kementerian Pelajaran
Institusi Pendidikan :
1-Sekolah Antarabangsa dan Swasta
Terdapat 32 sekolah antarabangsa, 14 sekolah ekspatriat, 84 sekolah rendah swasta dan 90 sekolah menengah swasta pada 2005. Sekolah swasta menggunakan kurikulum kebangsaan manakala sekolah antarabangsa menggunakan kurikulum luar negara. Kedua-duanya mempunyai pengurusan yang berorientasi perniagaan.

Kluster : Institusi lepasan menengah
Institusi Pendidikan :
1-Kolej Matrikulasi Institusi Lepasan Menengah
Kolej Matrikulasi menyediakan lebih banyak peluang kepada pelajar sains, teknologi dan satera ikhtisas melanjutkan pelajaran di institusi pengajian tinggi di dalam dan luar negara. Program ini dijalankan di sembilan Kolej Matrikulasi KPM, dua kolej MARA, dan Pusat Asasi Sains Universiti Malaya. Mulai sesi 2003/2004, Kolej Matrikulasi memberi peluang sehingga 10% kepada pelajar bukan bumiputera. Dalam RMK-9, empat Kolej Matrikulasi baru akan dibina.

2-Institut Pendidikan Guru (IPG)
IPG adalah perkembangan maktab perguruan . Ia bermatlamat menghasilakan guru profesional dan kompeten melalui latihan keguruan dengan penekanan kepada aspek nilai dan amalan profesionalisme keguruan, pengetahuan dan kefahaman, dan kemahiran pengajaran. IPG akan mewujudkan pusat kecemerlangan latihan keguruan dalam lapan bidang iaitu Teknologi Maklumat dan Komunikasi, Pendidikan Khas, Pendidikan Islam, Bahasa, Matematik dan Sains, Sains Sosial, Pendidikan Jasmani dan Kesihatan, dan Teknik dan Vokasional.



Sumber ;
m/s 12, Majalah Pendidik Bil 35/ April 2007

23 Mei 2007

Ketam mengajar anak berjalan lurus

Ramah mesra dengan sesiapa sahaja akan memudahkan diri kita untuk didekati oleh sesiapa sahaja. Keramahan menunjukkan kemesraan. Jangan terlebih ramah, susah juga . Itu sebab kita digalakkan bersederhana sahaja dalam banyak perkara.

Peperiksaan pertengahan tahun di sekolah tamat hari ini. Memberikan peluang untuk beramah mesra dengan murid-murid. Anak-anak kecil ini mudah untuk berkongsi cerita, apatah lagi apabila mereka berasa selamat tatkala bersama kita.

Pendekatan ini (ramah) boleh juga kalau cikgu sekolah gunakan untuk mendekati murid-muridnya. Pasti banyak cerita akan kedengaran. Pelbagai aduan bakal disampaikan. Walaupun sekecil kuman, cikgu yang ramah itulah yang akan dicarinya!!!

Hingga hal-hal peribadi pun murid-murid sekarang tidak segan silu untuk ditanyakan kepada guru mereka.Pelbagai soalan ditujukan. Dan selaku guru haruslah bersedia untuk menjawabnya.Tapi haruslah berhati-hati ketika mengeluarkan kata-kata. Tersilap bahasanya boleh tersilap tafsirannya.

Kepercayaan mereka pada gurunya juga membolehkan mereka ke tahap berkongsi rahsia bersama gurunya. "Cikgu....nak tahu tak saya ada rahsia pasal cikgu **** " antara ayat-ayat yang mungkin pernah sampai ke telinga para guru."Tapi...cikgu jangan cakap dengan sapa-sapa tau...ini rahsia" . Kata-kata itu bukanlah keluar daripada murid berumur 12, 16, atau 17 tahun sahaja. Malah juga daripada murid yang baru menjangkau 8 tahun.

Wahai cikgu-cikgu sekalian, sedarilah perlakuan kita sememangnya menjadi perhatian murid-murid kita. Bahasa kita walau senakal mana pun murid tetap sampai kepada pendengaran mereka.Ramah dan rapat bagaimanapun kita bersama murid kita , kita tetap perlu berwaspada dengan tingkah laku dan pertuturan kita. Apa yang didengar,dilihat akan tetap menjadi contoh!

Jangan sampai satu hari nanti kita akan terdengar " Fariz mana?" "Entah, dah pergi mati kat belakang sana". Aduh itukah bahasa anak merdeka? Di tanya guru yang mendengar..."Eh, kenapa cakap macam tu?". "Cikgu **** cakap macam tu, boleh!"

Macam mana nak membela ya? Awas cikgu , guru di sekolah sewajibnya mengajar budi bahasa yang penuh kesopanan dan bukan sebaliknya, gara-gara keramahan yang berlebihan membuatkan kita lupa yang berhadapan dengan kita itu adalah waris yang bakal menjunjung adat budaya dan kesopanan.

Bersopanlah kita sebelum kita mengajar anak murid kita erti budi bahasa dan kesopanan.Jangan menjadi seperti ketam yang mengajar anaknya berjalan lurus!!

18 Mei 2007

Selamat Hari Guru

LAGU TEMA HARI GURU 2007
GURU PENJANA MODAL INSAN GEMILANG

Keunggulan,
Kecemerlangan pendidikan telah dibuktikan
Guru sejati berilmu tinggi
Hidup berbudi seikhlas hati

Guru penjana modal insan gemilang
Masyarakat berilmu berbudaya cemerlang
Guru penjana modal insan gemilang
Pencapaian cemerlang gemilang dan terbilang

Keterampilan,
Kecanggihan keilmuan direalisasikan
Guru sejati kasih insani
Gigih berusaha demi pertiwi

Guru penjana modal insan gemilang
Masyarakat berilmu berbudaya cemerlang
Guru penjana modal insan gemilang
Pencapaian cemerlang gemilang dan terbilang

Tak dihiraukan cabaran
Dengan jaya direntasi
Kejayaan kan dimiliki
Ikrar pasti dikota janjikan terlaksana
Demi Malaysia tercinta

Guru penjana modal insan gemilang
Masyarakat berilmu berbudaya cemerlang
Guru penjana modal insan gemilang
Pencapaian cemerlang gemilang dan terbilang

Lagu Tema Hari Guru 2007
Ciptaan : En. Rosli bin Ahmad, BTP 2007

14 Mei 2007

Terima kasih...cikgu !



Pelangi - Biar Ku Menjadi Lilin

Biarku menjadi lilin
Memberikan cahaya
Terangi sekeliling dengan diri terbakar
Tak siapa yang sedar
Disaat kegelapan rela aku berkorban
Demi satu harapan

Biar masa berlari
Dan kau terus mendaki
Aku tenang disini dengan sabar menanti
Tanpa dendam dan benci
Andainya kau terjatuh terluka dan tersungkur
Kurawat biar sembuh

Aku tak kan bertanya
Apakah nanti balasannya
Setiap pengorbanan setiap pemberian
Demi satu ikatan

Keikhlasan dihati
Walaupun sering kau ragui
Pada suatu masa dan suatu ketika
Akan ketara jua

Biarku menjadi lilin
Memberikan cahaya
Saat kau kesepian saat kau kegelapan
Kurela menerangkan

Aku senang begini dapat terus berbakti
Dengan cara sendiri


11 Mei 2007

Jawi sekali sekala...ok kan?

بيسم الله الرحمن الرحيمِِِِِِ
سوده لاما تيدق منوليس. ككاڠن ماس.باڽق ڤركارا برلاكو دان سمواڽ ڤرلو دهادڤي. دان الحمدلله سڬالاڽ برجالن لنچر. دوڬان ايت سلالو مڽدركن مأنسي دان منجاديكن ديري كيت لبيه چكال مڠهادڤي دنيا يڠ ڤنوه ڤنچاروبا.نامون، ساي ماسيه ممڤو اونتوق ترسڽوم سباڬاي ڤڽري سهارين. سمستير بارو باكل منجلڠ. د هاري ڤڠامبيلن مودول تيمڤوه هاري، ساي ترسرمڤق دڠن ببراڤ راكن يڠ سام منونتوت د مكتب ڤرڬوروان راج ملور 1996-1999. دان ڤرتموان دڠن محمد سوفيان نوردين سوڠڬوه تيدق دساڠكا-سڠك. هاي سوفيان، كيت برجومڤا لاڬي ڤرجومڤأن ايت مڠيڠتكن ساي كڤد سموا راكن-راكن دمكتب . ساي ريندو كامو سموا دان ريندو جوڬ ڤد زمن ڤڠاجين ساي د مكتب ڤرڬوروان. :-).. كالاوله بوليه داولڠ كمبالي....ِِِِِِِِِِِِِِ

16 April 2007

Anakmu bukan anakmu

"Anakmu bukan anakmu
Mereka adalah anak-anak kehidupan yang ingin hidup
Mereka datang melaluimu bukan darimu
Walaupun bersamamu mereka bukan milikmu
Berikan mereka kasih, tetapi bukan pemikiranmu
Kerana mereka mempunyai pemikiran mereka sendiri"

Pinjam dari unit Bimbingan & Kaunseling di sekolah
Antara baris sajak yang terdapat dalam buku seorang pemikir Parsi, Khalil Gibran, The Prophet yang mengetengahkan keluhuran tugas guru.
p/s: diambil dari sebuah buku "Cerita-cerita Motivasi untuk Guru" oleh Hamedah Wok Awang.

13 April 2007

Perihal cikgu kita

Dipetik dari Agendadaily.com

Kata dua - pergi atau berhenti - yang diberikan oleh Timbalan Menteri Pelajaran, Dato’ Noh Omar kepada guru-guru yang ingkar mengajar di pedalaman baru-baru ini agak menarik.Tentu ada sebab-musabab yang mendorong timbalan menteri itu menyatakan pendirian keras kementeriannya.

Keengganan guru bertukar ke pedalaman khususnya di Sabah dan Sarawak bukan cerita baru. Menteri dan timbalan menteri pelajaran silih berganti. Malah sudah banyak Menteri Pelajaran yang menjadi Perdana Menteri dan timbalannya.Namun, masalah keengganan bertukar ke pedalaman tetap berlaku saban tahun.

Kebelakangan ini ke Johor Baharupun ada yang mengeluh. Letihlah kementerian memujuk dan menjaga hati para guru berkenaan sehingga disediakan habuan untuk mereka yang bersedia mendidik anak bangsa di hujung-hujung desa dan pelbagai ceruk.

Pun, masih ada yang ingkar! Akhirnya Dato’ Noh naik angin. Siapapun memegang jawatan itu akan turut naik angin. Inilah yang dikatakan menarik untuk dianalisis.Semua bakal calon amat maklum bahawa mereka akan diperlukan berkhidmat di pedalaman. Semasa ditemudugapun telah dinyatakan dan ditanyakan tentang kesanggupan masing-masing.

Seperti kakitangan perkhidmatan awam yang lain, guru-guru juga tertakluk kepada syarat-syarat perkhidmatan yang antara lain dipersetujui bahawa tindakan disiplin boleh dikenakan jika mereka mengingkari sebarang peraturan.

Jika syarat-syarat perkhidmatan ini dikuatkuasakan sepenuhnya, Dato’ Noh atau sesiapa sekalipun, tidak lagi perlu memberikan kata dua kerana syarat-syarat perkhidmatan itu sendiri sudah meliputi kata dua berkenaan.Jadi, jangan tuding jari pada guru yang enggan ke pedalaman! Kementerian harus membuat muhasabah diri – adakah ia sudah menguatkuasakan peraturan yang sedia ada atau sebaliknya.Kenapa kementerian-kementerian lain tidak menghadapi masalah seperti masalah perguruan?

Pegawai dan anggota polis serta tentera juga ditukarkan ke Sabah dan Sarawak. Ada pula di kalangan mereka yang terpaksa berkhidmat di pulau-pulau tertentu.

Walaupun terlalu berat untuk meninggalkan anak isteri, mereka tetap patuh kepada arahan dan peraturan yang termaktub. Banyak juga yang terpaksa bertugas di luar negara sebagai pasukan pengaman di bawah bendera Pertubuhan Bangsa Bersatu. Nama baik negara dan pasukan harus diberi keutamaan.Begitu jugalah sepatutnya para guru, mereka wajib mengutamakan kepentingan negara dan anak bangsa. Kebanggaan para guru hendaklah terhadap kejayaan menukarkan pelajar-pelajar tercicir, lembab dan lemah menjadi pelajar yang berjaya, cemerlang dan berpotensi untuk terus maju.

Pelajar-pelajar sedeGambar ketika sambutan Hari Maulidur Rasul 2007 di dewan terbuka SKTPmikian hanya ada di kalangan mereka di luar bandar dan pedalaman yang sangat hauskan pendidikan bermutu daripada guru-guru berpendidikan tinggi dan terlatih.Di Malaysia, masalah ini memang rumit. Memang guru-guru mahu memberi keutamaan kepada pelajar-pelajar di luar bandar, tetapi anak-anak mereka sendiri, bagaimana?

Majoriti guru adalah perempuan. Apabila sudah berumahtangga, masalah mulai timbul.Suami bekerja di bandar. Mahu bertukar ke kawasan berhampiran tempat isteri ditukarkan, tiada pejabatpun di sana. Apakah pilihan yang ada? Anak pula bagaimana – nak ditinggalkan bersama suami atau dibawa ke sekolah?

Memang guru-guru perempuan akan berhadapan dengan pelbagai masalah. Jalan keluar ialah jumpa wakil-wakil rakyat minta sokongnan supaya tidak dipindahkan. Itu jalan keluar para guru, kementerian pula bagaimana?Beranikah kementerian membuat perubahan iaitu membetulkan kembali nisbah atau peratusan guru lelaki dan perempuan? Pelik juga kenapa terlalu sedikit guru lelaki sekarang ini. Adakah calon-calon lelaki tidak menepati keperluan sehinggakan terlalu banyak perempuan yang diterima.

Mungkin kelulusan calon-calon perempuan lebih baik daripada calon-calon lelaki. Mungkin juga sifat-sifat kewanitaan lebih sesuai untuk perguruan. Apalah guna mengambil calon yang cemerlang akademiknya tetapi tidak mahu atau tidak dapat bertugas di pedalaman. Lebih baiklah diambil calon lelaki yang sederhana tetapi boleh ditugaskan di ceruk mana sekalipun.

Jika terdesak, mungkin juga kementerian boleh mengambil jalan lain iaitu menggilirkan setiap guru berkhidmat di pedalaman untuk tempuh tertentu umpamanya dua atau tiga tahun. Kaedah ini mungkin lebih adil kerana kini, ada guru yang dari mula hingga bersara, tidak pernah ke luar bandarpun, - jauh sekali ke pedalaman.

Dalam konteks muhasabah, elok juga kementerian menilai kembali kurikulum pendidikan gurunya. Kaji semula adakah telah diterapkan secukupnya kesedaran tentang betapa pentingnya ke luar bandar dan pedalaman. Kenapa ada guru yang ingkar ke pedalaman – mungkin masalah disiplin. Jika guru tidak berdisiplin bagaimanakah mahu mendisiplinkan pelajar?

Dalam pada itu, kemudahan seperti rumah guru dan pengangkutan serta kemudahan-kedmudahan lain harus juga disediakan. Bayangkan jika mengajar di bandar, seseorang guru memandu Proton Perdana, apabila ke pedalaman terpaksa naik rakit pula.
Jika sedemikian halnya, Dato’ Noh atau Dato’ Hishamuddin sendiripun tidak sanggup ke pedalaman.Apa sekalipun senarionya, Kementerian Pelajaran harus berani membuat perubahan, bukan sekadar memberi kata dua sahaja .

-->Saya copy paste dari web cikguonline je ni, mungkin boleh difikirkan bersama.

12 April 2007

Ulangkaji


Minggu ini merupakan minggu ujian bulanan yag kedua di sekolahku. Moga-moga semua murid telah membuat ulangkaji mereka semasa di rumah. Dan mudah-mudahan juga peratus kelulusan mereka untuk setiap mata pelajaran sama meningkat. Jika ada pun yang menurun janganlah menjunam hendaknya.
Bulan ini juga adalah bulan mengulangkaji bagi guru-guru yang sedang melanjutkan pelajaran.Di mana pun mereka berada selamat mengulangkaji dan semoga mendapat keputusan yang lebih baik pada semester ini.
Buat sahabat-sahabatku di Shah Alam , PJ, KL, Ami yang berada di JB, Rozita yang berada di Bukit Kayu Hitam Kedah, semoga kalian juga berjaya mencapai target masing-masing.
Selamat Maju Jaya buat semua.

10 April 2007

2007 Tahun Peperiksaan

pening!


2007 Tahun Peperiksaan mungkin itu juga satu ketentuan? kuikui di ingat-ingat, di semak-semak dan di senarai.....rasanya tahun 2007 paling banyak peperiksaan yang perlu dihadapi

1. Peperiksaan pertengahan semester Jan OUM : Mac
2. Peperiksaan akhir semester Jan OUM : April
3. Peperiksaan pertengahan semester Mei OUM: Jun
4. Peperiksaan akhir semester Mei OUM : Julai
5. Peperiksaan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) : Ogos
6. Peperiksaan pertengahan semester Sept OUM : Oktober
7. Peperiksaan akhir semester sept OUM : Nov-Dis
8. Peperiksaan Bhs Inggeris Etems : Nov

Oleh itu, masa itu sangat penting kan?

Alahai Peperiksaan!

macam-macam rasa!Hari ini aku berkesempatan untuk menambah entri lagi. Almaklumlah sedang bercuti mc. Demam. Alhamdulillah esok aku akan kembali menjalankan tugasku seperti sediakala. Cuma aku agak terkilan sedikit sebab tidak berkesemptan meninggalkan pesanan kepada anak-anak didikku yang ketika ini sedang menjawab kertas ujian bulanan yang kedua.
Pagi tadi juga ada sahabat yang prihatin kepada kerisauanku mengenai keputusan ujian etems yang telah dijalani. Nyata kerisauanku benar, aku tidak bernasib baik. Terpaksalah aku menghabiskan cuti sekolahku kelak menghadiri kursus dan peperiksaan yang telah disediakan oleh pihak atasan untuk kami yang tidak lepas ujian ini. Alhamdulillah, dalam sedih aku masih bersyukur kerana masih ada peluang untuk kami mempertingkatkan ilmu kami dengan adanya kursus itu.
Tapi di mana ya agaknya kesilapan dan kesalahan itu? Teman-temanku juga agak kaget dengan keputusan yang keluar. Mana tidaknya keputusan MUET yang kududuki tahun lepas ( 2006) agak baik(bukannya sudah berlalu bertahun-tahun lamanya pun....x sampai setahun pun). Cukup syarat malah lebih pun mengikut syarat lulus OUM yang diperlukan.Nampaknya aku masih perlu mendaftarkan namaku untuk ujian MUET yang akan datang. Kali ini untuk mengekalkan status guru etems pula. Agaknya kalau 3-4 bidang aku ceburi maka 3-4 kali MUET aku perlu hadiri. Untung ya mereka?
Tapi dalam kemurungan pun aku masih redha, aku akan tunggu dan lihat apakah hikmah yang telah / sedang menanti aku dihadapan.Pasti ada.kan? Semoga dengan kursus yang bakalku duduki ini juga akan membantu aku untuk pengajianku di OUM.

27 Mac 2007

Guru dan bidangnya....

Antara aktiviti yang dijalankan ketika Perkhemahan Unit Beruniform 2006
Setiap orang ada cita-cita sendiri. Kita tanya saja kepada budak-budak sekolah sekarang, ada yang nak jadi cikgu, polis, tenteta, peguam, doktor, jurutera....dan macam-macam lagilah.Saya pernah juga terdengar ada yang nak jadi penjaga kedai! Opsss....jangan di pandang rendah. Mungkin kedai yang dia bayangkan sekarang hanya sekadar kedai biasa, kitalah yang boleh ubah persepsi kedai supaya menjadi supermarket atau hypermarket ke....tak hebat ke?
Berbalik kepada yang nak jadi cikgu, pun tak kurang ramainya, tapi sudah faham benarkah mereka dengan identiti seorang cikgu. Atau yang mereka nampak gaji besar, kerja separuh hari, tiap-tiap tahun pasti dapat hadiah sempena hari guru?
Kepada yang sedang bercita-cita untuk menjadi cikgu, sila fikirkan yang lebih jauh lagi. Kalau setakat yang tersenarai tu, ada baiknya carilah cita-cita yang benar-benar akan menjadikan kalian anggun, malah hebat.Menjadi guru tidaklah semudah yang disangka, mentelaah pula di zaman siber yang serba canggih.
Jika di maktab/universiti bidang anda adalah matematik , Itu bukan lah alasan untuk anda menyatakan anda lemah dan tidak mampu untuk mengajar pelajaran di luar bidang anda. Berusahalah supaya anda baik dalam semua bidang,kerana guru seharusnya tahu banyak perkara. Luaskan pengetahuan dan tolong tidak menyempitkan ruang anda sebagai guru. Baik dan bagus di dalam bukan bidang dan seharusnya anda hebat di dalam bidang anda. Nah, itulah guru yang asli!
Bagaimana untuk menjadi baik serta hebat? Belajarlah. Tidak semestinya setelah anda mengajar maka anda berhenti belajar. Guru harus sentiasa belajar agar tidak putus ilmu yang hendak di ajarkan kepada orang lain. Tidak begitu?
Biarlah apa orang lain nak kata "nak naik gaji lagi ke, maka sambung belajar?" . Yang penting nawaitu untuk menyebarkan ilmu yang terkini agar bangsa dan negara tidak ketinggalan.
Di sekolah sudah maklum, ada ramai guru yang mahir dalam bidang masing-masing. Apalah salahnya guru menjadi pelajar kepada rakan sejawatnya. Dan tidak ada anehnya guru menjadi guru kepada rakan sejawatnya. Sama-sama akan mendapat faedah. Secara tidak langsung semua guru akan menjadi mahir dalam semua bidang. Tidaklah bergantung harap kepada guru bidang semata-mata. Andaikan jika guru bidang tidak ada, tidaklah terkontang kanting kelemasan kerana ada pelapisnya.
Kepada guru yang ada rakan sejawat memohon untuk menjadi pelajar anda , jangan pula anda berasa berat hati untuk menurunkan ilmu. Ilmu itu ALLAH amanahkan kepada anda untuk dikongsikan juga dengan orang lain. Maka berkongsilah, insya'allah ilmu anda akan bertambah hebat.
Guru sesama guru harus bersama-sama menaikkan taraf guru. Jika tidak siapa lagi? Seperti entri saya yang lalu, pengetahuan, pengalaman jangan ditunggu kedatangannya kepada kita. Tetapi kitalah yang harus mencarinya untuk kesejahteraan semua.
Jadilah guru yang asli bukan klon. Saya sendiri masih berusaha kearahnya.Tulisan ini sekadar menjadi peringatan kepada semua yang bergelar guru, bakal guru dan sebenarnya untuk diri sendiri juga.
Almaklumlah dek kerana terlampau banyak tekanan adakalanya kita terlupa siapakah sebenarnya insan yang digelar "GURU"....."CIKGU"....sehingga terlupa juga amanah yang diamanahkan kepada kita.

19 Mac 2007

"Kenapa?"

mendamaikan pandangan"Kenapa?" Kata tanya 'kenapa' ini kerap digunakan oleh anak-anak zaman IT ini. Jika kita amati setiap kali ada larangan jangan, maka kata tanya 'kenapa' ini akan berada di bibir.Cubalah berikan pernyataan jangan kepada anak-anak kita, tunggu dan lihat responnya. Walaupun tidak semua tetapi hampir kebanyakkan daripada mereka pasti mahukan penjelasan.

Pemikiran anak-anak zaman ini sudah tinggi dan adakalanya melebihi had umur anak itu sendiri. Jangankan anak remaja, anak kecil yang baru sekolah tadika pun banyak persoalan yang diutarakan. Semakin membesar anak-anak hari ini semakin berat persoalan yang diperlukan untuk penjelasan.

Suatu perkembangan yang agak sihat. Anak-anak ini menunjukkan minatnya untuk mengetahui sesuatu. Perasaan ingin tahu inilah yang perlu diselia oleh orang yang lebih dulu makan garam. Mereka harus diawasi dan dibimbing agar tidak tersalah mencari penjelasan dan agar sentiasa berada di kawasan yang selamat.

Untuk itu, apakah mereka-mereka yang lebih berpengalaman bersedia untuk bersama-sama bagi memberikan tunjuk ajar dan pengalaman kepada anak-anak yang sedang mahu meneroka hidup? Cuba renungkan seketika , apakah setelah menjadi seseorang, kita juga telah bersedia untuk membantu seseorang yang lain agar menjadi seseorang? Dan setelah semua persoalan 'kenapa' terjawab, kita mungkin perlu bersedia dengan persoalan 'bagaimana' pula.

Kenapa perlu pengalaman? Bagaimana untuk dapatkan pengalaman?

Belajar sebenarnya tidak pernah berehat.Sama seperti masa yang tidak pernah berhenti walaupun sesaat.......

18 Mac 2007

Belajar dan belajar

Tekun...menyiapkan latihan yang diberi
Belajar itu satu tugas bagi setiap individu. Tidak kira tua atau muda. Manusia seharusnya tidak berhenti belajar untuk menjadi seseorang yang boleh digelar "Insan". Pembelajaran adalah sepanjang hayat. Itulah sebabnya sampai ke liang lahat pun kita masih lagi belajar.

Belajar tidak kira di mana-mana pun kita berada. Ianya satu maah dan tanggungjawab terhadap diri kita sendiri.Seharusnya juga kita menanamkan rasa minat untuk belajar kepada anak-anak yang masih kecil. Mereka ini tidak patut jemu untuk mengutip ilmu sebagai bekalan disepanjang perjalanan hidupnya.
Ilmu-ilmu ini pastinya akan berguna dan membawa maanfaat yang maha besar kelak. Tidak semuanya akan segera menunjukkan hasil setelah kita menjayakannya. Pokok pun berbuah hanya apabila sudah tiba masanya.
Kita harus menjadi seseorang. Lakukanlah sesuatu melebih orang lain walaupun hanya selangkah ke hadapan. Saya akan ingat pesanan majikan saya yang saya panggil ayahanda di sekolah. Pengalaman ayahanda yang pernah diceritakan kepada saya akan saya jadikan tauladan untuk saya menjadi seseorang.
Pengalaman adalah pengajar yang terbaik untuk seseorang. Kita harus lakukan sesuatu untuk mendapatkan pengalaman itu. Itu adalah sesuatu yang pasti. Jangan tunggu untuk disuapkan pengalaman tetapi carilah pengalaman.