13 April 2007

Perihal cikgu kita

Dipetik dari Agendadaily.com

Kata dua - pergi atau berhenti - yang diberikan oleh Timbalan Menteri Pelajaran, Dato’ Noh Omar kepada guru-guru yang ingkar mengajar di pedalaman baru-baru ini agak menarik.Tentu ada sebab-musabab yang mendorong timbalan menteri itu menyatakan pendirian keras kementeriannya.

Keengganan guru bertukar ke pedalaman khususnya di Sabah dan Sarawak bukan cerita baru. Menteri dan timbalan menteri pelajaran silih berganti. Malah sudah banyak Menteri Pelajaran yang menjadi Perdana Menteri dan timbalannya.Namun, masalah keengganan bertukar ke pedalaman tetap berlaku saban tahun.

Kebelakangan ini ke Johor Baharupun ada yang mengeluh. Letihlah kementerian memujuk dan menjaga hati para guru berkenaan sehingga disediakan habuan untuk mereka yang bersedia mendidik anak bangsa di hujung-hujung desa dan pelbagai ceruk.

Pun, masih ada yang ingkar! Akhirnya Dato’ Noh naik angin. Siapapun memegang jawatan itu akan turut naik angin. Inilah yang dikatakan menarik untuk dianalisis.Semua bakal calon amat maklum bahawa mereka akan diperlukan berkhidmat di pedalaman. Semasa ditemudugapun telah dinyatakan dan ditanyakan tentang kesanggupan masing-masing.

Seperti kakitangan perkhidmatan awam yang lain, guru-guru juga tertakluk kepada syarat-syarat perkhidmatan yang antara lain dipersetujui bahawa tindakan disiplin boleh dikenakan jika mereka mengingkari sebarang peraturan.

Jika syarat-syarat perkhidmatan ini dikuatkuasakan sepenuhnya, Dato’ Noh atau sesiapa sekalipun, tidak lagi perlu memberikan kata dua kerana syarat-syarat perkhidmatan itu sendiri sudah meliputi kata dua berkenaan.Jadi, jangan tuding jari pada guru yang enggan ke pedalaman! Kementerian harus membuat muhasabah diri – adakah ia sudah menguatkuasakan peraturan yang sedia ada atau sebaliknya.Kenapa kementerian-kementerian lain tidak menghadapi masalah seperti masalah perguruan?

Pegawai dan anggota polis serta tentera juga ditukarkan ke Sabah dan Sarawak. Ada pula di kalangan mereka yang terpaksa berkhidmat di pulau-pulau tertentu.

Walaupun terlalu berat untuk meninggalkan anak isteri, mereka tetap patuh kepada arahan dan peraturan yang termaktub. Banyak juga yang terpaksa bertugas di luar negara sebagai pasukan pengaman di bawah bendera Pertubuhan Bangsa Bersatu. Nama baik negara dan pasukan harus diberi keutamaan.Begitu jugalah sepatutnya para guru, mereka wajib mengutamakan kepentingan negara dan anak bangsa. Kebanggaan para guru hendaklah terhadap kejayaan menukarkan pelajar-pelajar tercicir, lembab dan lemah menjadi pelajar yang berjaya, cemerlang dan berpotensi untuk terus maju.

Pelajar-pelajar sedeGambar ketika sambutan Hari Maulidur Rasul 2007 di dewan terbuka SKTPmikian hanya ada di kalangan mereka di luar bandar dan pedalaman yang sangat hauskan pendidikan bermutu daripada guru-guru berpendidikan tinggi dan terlatih.Di Malaysia, masalah ini memang rumit. Memang guru-guru mahu memberi keutamaan kepada pelajar-pelajar di luar bandar, tetapi anak-anak mereka sendiri, bagaimana?

Majoriti guru adalah perempuan. Apabila sudah berumahtangga, masalah mulai timbul.Suami bekerja di bandar. Mahu bertukar ke kawasan berhampiran tempat isteri ditukarkan, tiada pejabatpun di sana. Apakah pilihan yang ada? Anak pula bagaimana – nak ditinggalkan bersama suami atau dibawa ke sekolah?

Memang guru-guru perempuan akan berhadapan dengan pelbagai masalah. Jalan keluar ialah jumpa wakil-wakil rakyat minta sokongnan supaya tidak dipindahkan. Itu jalan keluar para guru, kementerian pula bagaimana?Beranikah kementerian membuat perubahan iaitu membetulkan kembali nisbah atau peratusan guru lelaki dan perempuan? Pelik juga kenapa terlalu sedikit guru lelaki sekarang ini. Adakah calon-calon lelaki tidak menepati keperluan sehinggakan terlalu banyak perempuan yang diterima.

Mungkin kelulusan calon-calon perempuan lebih baik daripada calon-calon lelaki. Mungkin juga sifat-sifat kewanitaan lebih sesuai untuk perguruan. Apalah guna mengambil calon yang cemerlang akademiknya tetapi tidak mahu atau tidak dapat bertugas di pedalaman. Lebih baiklah diambil calon lelaki yang sederhana tetapi boleh ditugaskan di ceruk mana sekalipun.

Jika terdesak, mungkin juga kementerian boleh mengambil jalan lain iaitu menggilirkan setiap guru berkhidmat di pedalaman untuk tempuh tertentu umpamanya dua atau tiga tahun. Kaedah ini mungkin lebih adil kerana kini, ada guru yang dari mula hingga bersara, tidak pernah ke luar bandarpun, - jauh sekali ke pedalaman.

Dalam konteks muhasabah, elok juga kementerian menilai kembali kurikulum pendidikan gurunya. Kaji semula adakah telah diterapkan secukupnya kesedaran tentang betapa pentingnya ke luar bandar dan pedalaman. Kenapa ada guru yang ingkar ke pedalaman – mungkin masalah disiplin. Jika guru tidak berdisiplin bagaimanakah mahu mendisiplinkan pelajar?

Dalam pada itu, kemudahan seperti rumah guru dan pengangkutan serta kemudahan-kedmudahan lain harus juga disediakan. Bayangkan jika mengajar di bandar, seseorang guru memandu Proton Perdana, apabila ke pedalaman terpaksa naik rakit pula.
Jika sedemikian halnya, Dato’ Noh atau Dato’ Hishamuddin sendiripun tidak sanggup ke pedalaman.Apa sekalipun senarionya, Kementerian Pelajaran harus berani membuat perubahan, bukan sekadar memberi kata dua sahaja .

-->Saya copy paste dari web cikguonline je ni, mungkin boleh difikirkan bersama.

Tiada ulasan: