08 Jun 2007

7 Strategi pupuk kemahiran tulis karangan

1. Beri penjelasan berulang kali
Penjelasan mengenai teknik mengarang perlu diulang-ulang kerana perkara penting yang perlu diberi perhatian ialah pelajar mengingati dan mempraktikan teknik mengarang setiap kali menulis karangan.

2. Lihat tangan sewaktu mengarang
Asuh pelajar mengingat dan menghafal lima urutan ayat yang patut ditulis dalam karangan berdasarkan susunan jari mereka. Ibu jari ialah ayat idea utama, jari telunjuk ialah ayat huraian isi, jari tengah ialah ayat contoh, jari manis ialah ayat bukti, dan jari kelingking ialah ayat penegasan.

3. Membaca rencana sambil membuat peta minda
Satu cara untuk meningkatkan kemahiran pelajar menulis karangan ialah menyuruh pelajar merujuk bahan seperti rencana dan membina peta minda berdasarkan bahan berkenaan sebagai persediaan sebelum menulis karangan.

4. Menyalin 100 karangan
Pendeta Za'ba dalam bukunya, Ilmu Mengarang Melayu (1965), menyatakan bahawa orang yang hendak pandai mengarang tiada pilihan lain melainkan
  • banyak-banyak membaca karangan yang elok-elok atau buku-buku yang elok-elok karangannya.
  • banyak-banyak memerhati percakapan orang yang pandai-pandai dan petah bercakap; dan
  • banyak-banyak meneladani akan karangan-karangan yang sedap, iaitu tiru dan cuba buat seperti itu pula

Suruh murid menyalin 100 karangan dalam tempoh 10 bulan mulai Januari hingga Oktober.Beri kebebasan pelajar sendiri memilih karangan berkenaan.Guru perlu menyemak karangan yang disalin dari semasa ke semasa.

Menyalin dan meniru adalah proses yang amat berkesan kepada pelajar dalam proses membina karangan yang mantap dan cemerlang.Karangan yang disalin pelajar juga boleh digunakan sebagai bahan melaksanakan strategi merujuk bahan dan membina peta minda.

5. Membuat koleksi frasa dan peribahasa.
Gunakan masa 5 minit sebelum P&P untuk menjalankan strategi ini. Tentukan giliran pelajar untuk membuat koleksi ini dan menyampaikannya kepada pelajar lain untuk disalin ke dalam buku catatan koleksi.Guru juga boleh memberi koleksi sendiri kepada pelajar.
Galakkan pelajar merujuk koleksi sewaktu membuat latihan menulis karangan.Hasilnya akan berlaku perubahan positif kerana pelajar sedaya upaya akan cuba menggunakan frasa menarik dan peribahasa ketika mengarang.

6. Memberi keyakinan kepada pelajar.
Guru perlu mengubah persepsi diri pelajar yang mempunyai tanggapan negatif terhadap diri sendiri dengan menanam kepercayaan yang betul dan realistik bahawa mereka mampu mengarang. Pelajar perlu ditanamkan kesedaran bahawa kemahiran mengarang boleh dipelajari dan dikuasai.

7. Ganjaran
Setiap ganjaran daripada guru adalah pengukuh dan pendorong yang cukup berkesan untuk meningkatkan tingkah laku positif pelajar. Ganjaran dalam bentuk pujian adalah pendorong yang cukup berkesan. Oleh itu, memberi komen membina seperti "Tahniah" dan "Syabas" perlu menjadi amalan guru.


'Guru yang mampu menjadi penyelidik yang kritikal mengenai sikap pelajarnya, sanggup menerima dan membuat perubahan serta berupaya membuat penilaian terhadap diri dan pelajarnya setiap kali pengajaran berlangsung, sudah pasti akan dapat membentuk proses pengajaran dan pembelajaran yang berupaya merangsang minat pelajarnya untuk belajar'

Tiada ulasan: