08 Jun 2007

Kluster Institusi Pendidikan

Kluster : Sekolah rendah
Institusi Pendidikan:
1-Sekolah Kebangsaan
Sekolah yang menggunakan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar utama

2-Sekolah Jenis Kebangsaan Cina
Sekolah yang menggunakan bahasa cina sebagai bahasa pengantar utama

3-Sekolah Jenis Kebagsaan Tamil
Sekolah yang menggunakan bahasa tamil sebagai bahasa pengantar utama

Kluster : Sekolah menengah
Institusi Pendidikan :
1-Sekolah Berasrama Penuh (SBP)
SBP bermatlamat memberi peluang kepada pelajar cemerlang khususnya dari luar bandar mendapatkan pendidikan yang terbaik supaya mereka terus berjaya dalam akademik,kokurikulum dan sahsiah. Dalam RMK-9, Kementerian Pelajaran akan membina 15 lagi SBP, menaik taraf SBP sedia ada, meningkatkan prestasi sukan dan memantapkan program kepimpinan. Setiap SBP mempunyai keistimewaan masing-masing seperti permainan ragbi di Kolej Melayu Kuala Kangsar, Perak; Pancaragam di Sekolah Tun Fatimah, Johor dan Kejuaraan Pidato di Kolej Islam Sultan Alam Shah Klang, Selangor.

2-Sekolah Menengah Teknik (SMT)
Pendidikan Teknik dan Vokasional memberi peluang belajar kepada pelajar yang cenderung dalam bidang teknikal dan vokasional sejajar matlamat untuk menyediakan tenaga kerja mahir dan separuh mahir yang mencukupi.SMT menawarkan bidang vokasional seperti ekonomi rumah tangga, pertanian, ketukangan elektrik, mekanikal, dan awam. SMT cemerlang termasuk SMT Dato' Undang Haji Md Sharip ( ekonomi rumah tangga ), SMT Chenor (pertanian), SMT Seri Manjung (ketukangan elektrik), SMT Muazam Shah (ketukangan awam), SMT Shah Alam (ketukangan mekanikal), dan SMT Cheras (kejuruteraan).

3-Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA)
SMKA diwujudkan bagi menyediakan pendidikan Islam kepada pelajar, memupuk potensi dari segi minat, kreativiti, sahsiah dan kepimpinan serta menyediakan peluang melanjutkan pelajaran dalam pelbagai ilmu di dalam dan di luar negara. Beberapa SMKA menunjukkan prestasi membanggakan terutama dalam SPM seperti SMKA Maahad Haamidiah Kajang, Selangor.

4-Sekolah Premier
Sekolah Premier ialah sekolah yang mempunyai unsur sejarah dan tradisi kukuh serta memberi banyak sumbangan kepada negara sejak ditubuhkan. Sekolah ini mempunyai seni bina bersejarah yang akan memperkayakan khazanah warisan negara serta menjadi lambang dan kebanggaan negara kerana kecemerlangannya. Sekolah ini melahirkan tokoh negara dan korporat seperti Victoria Institution (Kuala Lumpur), Sekolah Zainab (Kelantan), Maktab Sultan Ismail (Kelantan), dan Sekolah Menengah St. John (Kuala Lumpur).

5-Sekolah 100 Tahun
Sekolah 100 Tahun ialah sekolah yang dibina sebelum 1905. Sekolah ini mempunyai ciri tinggalan sejarah dan sebahagiannya ialah sekolah premier. Sekolah ini memberi banyak sumbangan kepada negara terutama melahirkan tenaga kerja dalam pelbagai profesion seperti Penang Free School (P.Pinang), Sekolah Tinggi Melaka (Melaka), Sekolah Menengah Lelaki Methodist (Kuala Lumpur), Kolej Melayu Kuala Kangsar (Perak), Sekolah Kebangsaan Padang Lebar Kikir (Negeri Sembilan).

6-Sekolah-sekolah di Putrajaya dan Cyberjaya
Sekolah di Putrajaya dan Cyberjaya terletak di Koridor Raya Multimedia dan sebahagiaannya adalah sekolah bestari. Sekolah ini mempunyai reka bentuk menarik, infrastruktur lengkap dan terletak dalam kawasan strategik, iaitu berhampiran dengan Kompleks Kerajaan Persekutuan.

7-Sekolah Model Khas
Sekolah Model Khas menggabungkan pelajar sekolah rendah tahap II dan pelajar sekolah menengah di bawah satu bumbung. Ia adalah konsep baru dalam menyediakan kemudahan fizikal kondusif bagi pelajar yang berpotensi di kawasan luar bandar seperti Sekolah Menengah Kebangsaan Clifford Kuala Lipis (Pahang), dan Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Jenun Pendang (Kedah).

Kluster : Sekolah pendidikan khas
Institusi Pendidikan:
1-Sekolah Pendidikan Khas
Sekolah Pendidikan Khas menyediakan pendidikan khas kepada pelajar bermasalah penglihatan, pendengaran, dan pembelajaran, autisme, sindrom down, keupayaan kognitif rendah, ADHD dan disleksia, supaya mereka menjadi insan berdikari dan dapat menyumbang kepada pembangunan negara. Sekolah Menengah Pendidikan Khas Indahpura menyediakan kemudahan pelajaran bagi ketiga-tiga kategori pendidikan khas. SMT juga memberi peluang pendidikan kepada pelajar bermasalah pendengaran dengan menawarkan kursus anjuran Majlis Latihan Vokasional Kebangsaan. Program pendidikan khas juga diwujudkan di sekolah rendah dan menengah harian serta di SMT melalui pendekatan pengasingan dan inklusif. Program ini melibatkan pelajar bermasalah pendengaran, penglihatan dan pembelajaran.

Kluster : Sekolah di luar seliaan Kementerian Pelajaran
Institusi Pendidikan :
1-Sekolah Antarabangsa dan Swasta
Terdapat 32 sekolah antarabangsa, 14 sekolah ekspatriat, 84 sekolah rendah swasta dan 90 sekolah menengah swasta pada 2005. Sekolah swasta menggunakan kurikulum kebangsaan manakala sekolah antarabangsa menggunakan kurikulum luar negara. Kedua-duanya mempunyai pengurusan yang berorientasi perniagaan.

Kluster : Institusi lepasan menengah
Institusi Pendidikan :
1-Kolej Matrikulasi Institusi Lepasan Menengah
Kolej Matrikulasi menyediakan lebih banyak peluang kepada pelajar sains, teknologi dan satera ikhtisas melanjutkan pelajaran di institusi pengajian tinggi di dalam dan luar negara. Program ini dijalankan di sembilan Kolej Matrikulasi KPM, dua kolej MARA, dan Pusat Asasi Sains Universiti Malaya. Mulai sesi 2003/2004, Kolej Matrikulasi memberi peluang sehingga 10% kepada pelajar bukan bumiputera. Dalam RMK-9, empat Kolej Matrikulasi baru akan dibina.

2-Institut Pendidikan Guru (IPG)
IPG adalah perkembangan maktab perguruan . Ia bermatlamat menghasilakan guru profesional dan kompeten melalui latihan keguruan dengan penekanan kepada aspek nilai dan amalan profesionalisme keguruan, pengetahuan dan kefahaman, dan kemahiran pengajaran. IPG akan mewujudkan pusat kecemerlangan latihan keguruan dalam lapan bidang iaitu Teknologi Maklumat dan Komunikasi, Pendidikan Khas, Pendidikan Islam, Bahasa, Matematik dan Sains, Sains Sosial, Pendidikan Jasmani dan Kesihatan, dan Teknik dan Vokasional.



Sumber ;
m/s 12, Majalah Pendidik Bil 35/ April 2007

Tiada ulasan: