25 Januari 2009

Keluhan Subuh

Sekadar renungan kita bersama:

Pada pagi itu, seperti mana pagi-pagi yang lain, aku menyambut kedatangan seorang tetamu tetapku.

"Assalamualaikum", seru Subuh.

"Wa'alaikumsalam", sahutku.

Dan kami terus berpelukan, tanda rindu serta kasih sayang. Kutanya khabar
Subuh, bagaimana keadaannya mengembara dari satu tempat ke satu tempat.

"Tadi..", kata Subuh dengan sayu, "... aku baru sahaja melintasi satu
tempat. Kucari tempat persinggahan, kuketuk rumah-rumah yang sunyi,
tapi satupun yang tiada mahu menerimaku sebagai tetamu." Dan airmata
Subuh pun berlinangan.

"Subuh, usah kau pedulikan mereka, bukankah aku menyambutmu dengan
penuh rasa kegembiraan? Subuh mengangkat mukanya seolah-olah teringat
sesuatu.

"Oh ya, tadi aku lalu di suatu tempat yang tanahnya disebalik sungai.
Orang-orangnya sepertimu, menyambutku dengan penuh kesukaan, menjamuku
dengan pelbagai hidangan yang lazat serta mengiurkan. Hidangan yang
paling kusuka adalah buah Tahajjud, puas kucari dibumi lain, tapi jarang
kujumpa.

Di situ aku meratah buah Tahajjud dengan puas serta leka".
Dan Subuh merenung mataku mengharapkan sesuatu. Aku fahami maksud
Subuh.

"Maaf Subuh, aku tiada menanam pohon Al-Lail, jadi aku tidak dapat
menghidangkanmu dengan buah yang kau sukai. Tapi aku ada Roti
Shiyam",cadangku pada Subuh.

Subuh menolak dengan hormat. "Roti itu ada tuan punyanya", kata Subuh.
"Adakah kau mahu manisan Zikir?" rayuku pada Subuh.

"Baiklah, ambilkan aku sedikit, serta bawakan aku segelas Air Mata
Tangisan", pinta Subuh.

Aku agak sugul, bagaimana harusku beritahu pada Subuh, yang Mata Air
Tangisan sudah hampir kekeringan akibat kemarau Maksiat yang
berpanjangan?

Namun, aku tetap menjenguk ke dalam Perigi yang memuatkan Mata Air
tersebut. Aku terkejut. Perigi tersebut hampir separuh penuhnya.
Dan aku berdetik didalam hati, adakah ini tanda kemarau akan berakhir?

Tanpa berlengah lagi kubawa Air tersebut pada Subuh, tetamu yang
kusanjungi, dan kusuakan manisan yang dipintanya. Selesai menjamah
kesemuanya, Subuh pun melirikkan sebuah senyuman.

"Subuh ..", seruku, "... mahukah kau tinggal selamanya denganku? Aku
memerlukan teman dalam kesunyian. Akan kulayan kau dengan
sebaiknya,wahai Subuh".

Subuh tersenyum lagi menandakan permintaanku tidak akan terpenuhi.
"Aku perlu menziarahi ramai orang, dan ramai lagi yang memerlukan
kehadiranku untuk mengubati rindu mereka, sepertimana aku menguliti mimpimu".

Dan aku akur dengan penjelasan Subuh. "Subuh",.. seruku lagi bila
melihat Subuh bersiap untuk pergi, "Sudikah kau menziarahiku lagi esok hari?"
"InsyaAllah", jawab Subuh,"... bukankah aku kekasih yang kau rindui?"
Subuh berangkat dengan lambat tetapi tetap.

"Assalamualaikum", seru Subuh.
"Waalaikumsalam", jawabku kembali.
Dan mataku terus meniti langkah Subuh, yang semakin laju dengan setiap
langkah. Dan akhirnya Subuh hilang dari pandangan.


P/S : Apalah agaknya keluh kesah dari Zohor, Asar, Magrib dan Isyak?
Jawapannya... tersirat dalam diri.

Aku peroleh daripada kiriman e-mail seorang sahabat yang kukenali dengan nama panggilannya As...Terima Kasih Teman!


Tiada ulasan: