27 Mac 2007

Guru dan bidangnya....

Antara aktiviti yang dijalankan ketika Perkhemahan Unit Beruniform 2006
Setiap orang ada cita-cita sendiri. Kita tanya saja kepada budak-budak sekolah sekarang, ada yang nak jadi cikgu, polis, tenteta, peguam, doktor, jurutera....dan macam-macam lagilah.Saya pernah juga terdengar ada yang nak jadi penjaga kedai! Opsss....jangan di pandang rendah. Mungkin kedai yang dia bayangkan sekarang hanya sekadar kedai biasa, kitalah yang boleh ubah persepsi kedai supaya menjadi supermarket atau hypermarket ke....tak hebat ke?
Berbalik kepada yang nak jadi cikgu, pun tak kurang ramainya, tapi sudah faham benarkah mereka dengan identiti seorang cikgu. Atau yang mereka nampak gaji besar, kerja separuh hari, tiap-tiap tahun pasti dapat hadiah sempena hari guru?
Kepada yang sedang bercita-cita untuk menjadi cikgu, sila fikirkan yang lebih jauh lagi. Kalau setakat yang tersenarai tu, ada baiknya carilah cita-cita yang benar-benar akan menjadikan kalian anggun, malah hebat.Menjadi guru tidaklah semudah yang disangka, mentelaah pula di zaman siber yang serba canggih.
Jika di maktab/universiti bidang anda adalah matematik , Itu bukan lah alasan untuk anda menyatakan anda lemah dan tidak mampu untuk mengajar pelajaran di luar bidang anda. Berusahalah supaya anda baik dalam semua bidang,kerana guru seharusnya tahu banyak perkara. Luaskan pengetahuan dan tolong tidak menyempitkan ruang anda sebagai guru. Baik dan bagus di dalam bukan bidang dan seharusnya anda hebat di dalam bidang anda. Nah, itulah guru yang asli!
Bagaimana untuk menjadi baik serta hebat? Belajarlah. Tidak semestinya setelah anda mengajar maka anda berhenti belajar. Guru harus sentiasa belajar agar tidak putus ilmu yang hendak di ajarkan kepada orang lain. Tidak begitu?
Biarlah apa orang lain nak kata "nak naik gaji lagi ke, maka sambung belajar?" . Yang penting nawaitu untuk menyebarkan ilmu yang terkini agar bangsa dan negara tidak ketinggalan.
Di sekolah sudah maklum, ada ramai guru yang mahir dalam bidang masing-masing. Apalah salahnya guru menjadi pelajar kepada rakan sejawatnya. Dan tidak ada anehnya guru menjadi guru kepada rakan sejawatnya. Sama-sama akan mendapat faedah. Secara tidak langsung semua guru akan menjadi mahir dalam semua bidang. Tidaklah bergantung harap kepada guru bidang semata-mata. Andaikan jika guru bidang tidak ada, tidaklah terkontang kanting kelemasan kerana ada pelapisnya.
Kepada guru yang ada rakan sejawat memohon untuk menjadi pelajar anda , jangan pula anda berasa berat hati untuk menurunkan ilmu. Ilmu itu ALLAH amanahkan kepada anda untuk dikongsikan juga dengan orang lain. Maka berkongsilah, insya'allah ilmu anda akan bertambah hebat.
Guru sesama guru harus bersama-sama menaikkan taraf guru. Jika tidak siapa lagi? Seperti entri saya yang lalu, pengetahuan, pengalaman jangan ditunggu kedatangannya kepada kita. Tetapi kitalah yang harus mencarinya untuk kesejahteraan semua.
Jadilah guru yang asli bukan klon. Saya sendiri masih berusaha kearahnya.Tulisan ini sekadar menjadi peringatan kepada semua yang bergelar guru, bakal guru dan sebenarnya untuk diri sendiri juga.
Almaklumlah dek kerana terlampau banyak tekanan adakalanya kita terlupa siapakah sebenarnya insan yang digelar "GURU"....."CIKGU"....sehingga terlupa juga amanah yang diamanahkan kepada kita.

Tiada ulasan: